Saturday, July 13, 2013

Tentang Bob. Tentang Sofea.

Sofea seorang gadis indah dari golongan aristokrat. Sifat dan perwatakannya penuh adab dan tatasusila. Lelaki kebanyakan akan rasa kekok bila berdepan Sofea. Kecuali Bob.

Bob lelaki proletariat yang anti-bourgeois. Tapi untuk Sofea. Dia beri pengecualian. Mereka berkawan baik. Berkongsi jiwa dan cita. Sampaikan orang sekeliling ingat mereka pasangan. 

Sebalik luaran yang nampak tak terkalahkan. Sofea sebenarnya rapuh dari dalam. Hanya Bob yang faham benar dengan Sofea. Bob jadi tempat Sofea merintih tentang kisah kehidupan. Bob jadi tempat Sofea cipta senyuman.

Sofea pernah beri separuh hatinya pada Bob. Tapi, sebab ego dan prinsip, Bob tak terima hati Sofea. 

Sofea patah hati. Lebih-lebih lagi, bila Bob mula panggil dia "dinda". Dia faham sangat maksud tersirat sebalik "dinda". Mahu tak mahu, dia terpaksa panggil Bob "kanda". Sofea patah hati.

Suatu hari Bob sedar, ego dan prinsip dia memakan diri. Semakin dia buang Sofea jauh-jauh. Semakin dekat Sofea dalam hatinya. Bob tewas.

*           *           *

Semalam, Bob dapat warkah dari Sofea,

"...kanda jemput lah datang ke hari istimewa dinda kelak. Jemput ya"

Lepas baca warkah tu. Bob diam.

Itulah kali pertama, aku nampak, air mata Bob tumpah.


No comments:

Post a Comment